Thursday, July 23, 2009

Memori

Bila tengok iklan rancangan Tom Tom Bak kelolaan Aznil Nawawi, saya tergelak. Dia memang pandai layan budak-budak tu.

Ada satu soalan yang ditanya oleh Aznil pada sorang peserta cilik. “Kat kampung awak ada apa?”. Spontan budak tu jawab “Ada Playstation!”.

Saya terseyum, dan terfikir mengenai budak-budak sekarang. Mereka dah banyak terdedah kepada dunia siber macam ni, sampai balik kampung pun boleh main Playstation. Masa saya kecil dulu saya tak terdedah kepada perkara macam ni sangat.

Saya dibesarkan di kampung pinggir bandar Muar, kawasan tepi laut, paya bakau. Masa saya kecil dulu, banyak aktiviti yang boleh dibuat. Hujung minggu saya pergi cari siput sedut dalam hutan, pergi dengan ayah saya. Banyak nyamuk, kadang-kadang lebih habis masa pukul nyamuk daripada cari siput. Bila dah nak balik, beg plastik ayah saya penuh dengan siput, saya cuma ada separuh. Lepas tu kami bawa balik dan masak, lepas tu makan satu famili.

Kalau nak cari lokan lagi tinggi skill diperlukan. Lokan terbenam dalam lumpur, jadi mata kena tajam. Biasanya sekali masuk hutan, saya dapat kurang sepuluh ekor saja. Macam biasa, asyik pukul nyamuk saja. Nak beli mosquito repellent, ayah saya kata tak payah lembik sangat, tahan je, buat apa beli. Saya pun tahan saja. Yang paling saya ingat ialah bau hutan paya bakau ni mengasyikkan. Kadang-kadang masa kami masuk tengah air pasang, jadi rasa seronok pulak main air sekali. Rasa macam adventurer! Siput lagi senang cari masa air pasang, sebab dia akan panjat pokok bakau, jadi senang nampak.

Saya belajar berenang pun sendirian je, dengan izin Allah. Masa tengah air pasang tu, masuk parit, cuba apung-apungkan diri, tiba-tiba pandai berenang. Air pasang memang besar waktu tu. Kami mandi ramai-ramai memang seronok. Cuma kadang-kadang tu terkena ampai-ampai, pedih jugak badan. Kalau kena, kami cepat-cepat pergi tebing parit, ambil lumpur dan lumur pada tempat kena. Saya tak tahu scientifically proven atau tak, tapi setakat ni berhasil.

Saya masih ingat masa saya darjah satu atau dua, kawasan rumah saya rendah. Jadi bila air pasang, air akan masuk rumah. Mak saya cepat-cepat angkat barang-barang rumah naik tempat tinggi. Masa ni kadang-kadang saya boleh berenang dalam rumah je. Yang penatnya masa nak cuci rumah lepas air pasang tu. Bila balik sekolah, lantai rumah licin baru lepas basuh, jadi saya berpaut pada buaian adik kecil saya, lepas tu saya meluncur dalam rumah. Bila mak marah baru saya berhenti.

Ada sekali yang saya ingat, air pasang sangat besar sampai ada sekumpulan ikan belanak boleh masuk dalam rumah saya. Yang tak bestnya, ular pun ada masuk rumah. Setakat saya ingat, tak ada ular yang bahaya masuk, Cuma ular air kecil yang tak berbisa. Ular jenis ni banyak, dan kami sikit pun tak takut nak pegang ular ni. Selamba je pegang dan biar dia lilit tangan. Panjang dia macam pembaris panjang tu. Tapi ada sekali ular gigit saya, sampai nampak bekas taring dia kat tangan. Lepas tu saya dah tak berapa berani dah.

Banyak pengalaman menarik masa kecil. Saya rasa rugi budak-budak sekarang sebab tak dapat nak rasa apa saya rasa. Mereka cuma berkurung dalam rumah, main game.

1 comment:

  1. Subhanallah..
    teringat masa kecik kecik dulu..
    indah sungguh memori tuh..

    ReplyDelete